
KOTA KINABALU,– Tiga individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan Dato’ Albert Tei bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada 30 Jun ini, berhubung skandal rasuah berkaitan pemberian lesen cari gali mineral di negeri ini.
Mereka yang akan didakwa ialah Datuk Dr Yusof Yakub, ADUN Sindumin; Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, ADUN Tanjung Batu merangkap Ahli Parlimen Kalabakan dari UMNO; dan Dato’ Albert Tei, ahli perniagaan yang dikenali sebagai individu utama dalam kartel mineral Sabah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan perkembangan itu dalam satu sidang media khas hari ini.
“Mereka akan dituduh bersama di bawah Seksyen 16A dan 16B Akta SPRM 2009. Setakat ini, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) telah bersetuju untuk meneruskan pendakwaan ke atas ketiga-tiga individu berkenaan,” jelas Azam.
Menurut beliau, pertuduhan itu berkaitan permintaan dan penerimaan rasuah dalam bentuk wang bagi meluluskan dan memudahkan kelulusan lesen eksplorasi mineral di beberapa kawasan strategik Sabah, dipercayai membabitkan nilai keseluruhan ratusan ribu ringgit.
Albert Tei bukan Whistleblower
Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Dato’ Albert Tei tampil sebagai pemberi maklumat (whistleblower) dalam siasatan SPRM. Namun, SPRM menegaskan bahawa individu terbabit tidak dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, kerana beliau sendiri terlibat secara langsung dalam kesalahan yang didedahkan. Beliau adalah dalang utama kes.
“Akta jelas menyatakan bahawa sesiapa yang turut melakukan kesalahan tidak layak dilindungi sebagai pemberi maklumat,” kata Pengarah Kanan Bahagian Perundangan SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin, dalam kenyataan terdahulu.
Operasi Rasuah Lesen Mineral
Kes ini menjadi tumpuan nasional apabila beberapa siri siasatan sejak 2023 membongkar amalan rasuah sistematik dalam kelulusan lesen-lesen cari gali emas dan mineral lain di Sabah, yang dipercayai membabitkan rangkaian ahli politik, pegawai agensi, serta proksi korporat yang mempunyai hubungan langsung dengan Pejabat Ketua Menteri.
Dato’ Albert Tei sebelum ini juga dikaitkan dengan beberapa projek mineral berprofil tinggi di bawah syarikat konsesi tempatan, dan dilaporkan mempunyai akses khas terhadap tanah-tanah berkepentingan tinggi.